Friday, 2 November 2012

Jangan bersedih



Ramai orang tersalah sangka tentang ketenangan dalam hidupnya . Seringkali mengaitkan ketenangan itu atas dasar adanya harta , kekayaan dan rupa paras . Walaupun kesemua itu boleh menjadi penyumbangnya , ia bukan segala-galanya ! 

Betapa ramai orang yang memiliki rumah yang besar . Tidur di atas katil yang empuk ! Tetapi , dia tidak selesa dengan semua itu dan sudah tentu lenanya tidak nyenyak . Namun ada juga yang tinggal di pondok yang buruk ataupun usang , dan kadang-kadang mereka lebih selesa berbanding kita .

Adapun orang yang di hadapannya terdapat makanan dan lauk pauk yang serba lazat , tetapi lidahnya tidak merasainya kelazatan makanan tersebut ! Lebih enak bagi orang-orang yang kadang-kadang makannya hanya mempunyai satu dua lauk pauk , namun mereka dapat menikmati keenakkan makanan itu . 

Kata Hamka : 

Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat 
Semua orang menyangka sekiranya orang itu ada rumah yang besar dan ada makanan yang lazat , maka sudah tentulah hidupnya bahagia dan tenang .
Belum tentu ! 
Jika Allah ingin memberikan kebahagiaan kepada seseorang , Dia tidak boleh ditahan dengan apa-apa tangan sekalipun ! Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, Dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan jua ! 
Jika Allah uruskan urusan kita , dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita , walaupun sekelip mata ! Dunia boleh berbuat apa-apa sahaja , tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kekuasaan Allah .
Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka akan tewas , kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah ! Apa yang orang rasa rugi , Allah akan memberikan keuntungan ! Yang mana jalan tersebut tidak disangka oleh manusia , tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupannya . 
Kita tengoklah dunia ini .. Kadang-kadang manusia itu hilang sesuatu benda daripada dunia ! Dan kadang-kadang dia kehilangan segala-galanya .
Berapa banyak dalam kehidupan kita , telah kita melalui keperitan hidup ?
Cuba ingat !
Ketika kita di dalam keperitan , kita rasa kita tidak dapat keluar daripadanya ! Tapi hari ini Allah telah keluarkan kita , 
dan kita sekarang berada dalam keadaan baik ! 
Ketika kita ditimpa musibah tertentu , kita akan berkata : ' Habislah aku kali ini '

Tetapi usia kita telah berjalan dan 
kita masih lagi hidup dan makan serta menikmati kurniaan kehidupan ini !
Ketika kita kata : ' Ya Allah tolonglah aku , aku susah Ya Allah ! '

Hari ini kita telah pun lupa akan perkataan itu ! Dan kita kadang-kadang pun terlupa untuk bersyukur , di atas pelbagai ranjau hidup
 yang telah Allah keluarkan kita daripadanya . Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda yang baru tetapi kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini merupakan satu nikmat yang terlalu besar ! 
Kata Hamka : ' Yang ada ini sudah harapan kita '

Tetapi insan , bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada . Tetapi jangan lupa yang telah ada ! 
Sebab itu , sebahagian dari para sarjana menyebut : Syukur kadang kala lebih tinggi makamnya daripada sabar ! 
Ramai orang terpaksa sabar , namun  belum tentu ada orang yang dapat nikmat itu dengan bersyukur .

' Ya Allah , apa sahaja yang aku alami ,
daripada nikmatMu
daripada kurniaanMu
daripada sesiapa dikalangan hambaMu
tidak ada daripada sesiapa melainkan
daripada Engkau wahai Tuhan ,
bagi Engkaulah segala pujian ,
bagi Engkaulah segala kesyukuran '


Subhanallah ! 
Insan , jika dia hendak menghitung nikmat Allah nescaya dia tak akan terdaya ! 
Ketika orang-orang kafir itu mengeluarkan dia , ketika dia salah seorang daripada dua , dia dan Abu Bakar ( iaitu Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar As-Siddiq ) , ketika mereka berada di dalam gua Thur , ketika Rasulullah berkata kepada sahabatnya :

' Jangan bersedih , sesungguhnya Allah bersama kita ! '

No comments:

Post a Comment